Penulis, pakar motivasi dan pembimbing jualan

Setiap orang adalah jurujual































Friday 22 April 2011

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur dan saya

Akhir-akhir ini Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) menjadi begitu dekat dengan saya. Kalau dahulu, saya jarang berkunjung ke sini kerana terlibat dengan hal-hal tertentu, namun sudah dua tahun berturut-turut PBAKL menjadi satu acara tahunan yang penting dan mengubah lanskap kehidupan saya.

Semuanya bermula dalam tahun 2009 apabila buku kedua saya dihantar untuk tujuan cadangan cetakan kepada True Wealth. Entiti ini merupakan sebuah entiti penerbitan buku milik Azizi Ali - seorang penulis, pakar motivasi dan juga terkenal sebagai jutawan hartanah.

Saya diterima bernaung di bawah penerbitan beliau dan buku kedua saya (yang pertama diterbitkan oleh True Wealth) iaitu MENGAJAR JURUJUAL MENARI setuju untuk diterbitkan dan ianya dilancarkan pada PBAKL tahun 2010. Semenjak itu, PBAKL menjadi dekat dengan diri saya dan berazam untuk menghasilkan lebih buku bagi tujuan memberikan ilmu pengetahuan berguna kepada jurujual, mereka yang berminat menjual dan juga usahawan.

Hari ini, sempena pesta buku tahunan PBAKL, sebuah lagi buku saya, NOTA JUALAN NOTA KEJAYAAN akan dilancarkan. Ini adalah buku ketiga dalam siri motivasi jualan dan tujuannya sama - memberikan kemahiran jualan kepada kumpulan sasaran yang dekat di hati saya agar mereka terbela dan mempunyai sumber rujukan untuk memahirkan diri menjual.

Pelancaran ini akan diadakan pada pukul 12 tengahari di ruang legar PWTC, bersama-sama dengan lain-lain penulis yang benaung di bawah True Wealth. Saya rasa bertuah kerana dapat bernaung dengan entiti penerbitan yang perihatin akan ilmu pengetahuan dan berusaha untuk terus menulis di masa hadapan. (Buku keempat yang diberi judul TAKE 5! (Ingatan kepada jurujual) sudah hampir siap dan akan diserahkan kepada True Wealth pada akhir bulan Mei nanti).

Saya juga tidak lupa kepada PTS Publication - entiti penerbitan yang mencungkil bakat saya dalam penulisan. Saya mempunyai ramai kenalan penulis di sini an masih terus berhubungan dengan mereka, terutamanya Tuan Fauzul Naim dan Zamri Mohamad. Jasa mereka menerbitkan buku pertama saya MENGAPA GAGAL MENJUAL akan terpahat dan usaha mereka memertabatkan ilmu pengetahuan melalui buku akan mendapat limpahan kurnia daripadaNya.

Seandainya pembaca dan jurujual ingin meluangkan masa mencari bahan bacaan untuk diri sendiri dan keluarga, jangan lupa akan pelancaran buku saya di ruang legar PWTC dan juga pergi ke booth True Wealth nanti. Saya juga berada di sana sekitar pukul 2 hingga 3 petang.

Selamat membaca dan mencari ilmu untuk memahirkan diri menjual!..

No comments:

Post a Comment