Saya baru selesai menghadiri majlis pelancaran buku penulis-penulis di bawah penerbitan True Wealth di PWTC, Kl sebentar tadi. Sungguh ramai dan meriah, terutamanya program yang berjalan sebelum program pelancaran buku True Wealth - pelancaran buku Tun Dr. Mahathir Mohamad.
PBAKL merupakan himpunan tahunan penerbit dan pengedar buku Malaysia dan luar negara. Saya berkesempatan melawat beberapa booth dari Indonesia, Iran, Singapura dan juga UK dan kelihatan mereka juga merasa teruja untuk mempamerkan buku karya negara masing-masing.
Bagi saya, PBAKL bukan sekadar himpunan penerbit dan pengedar buku sahaja. Ianya juga merupakan himpunan penulis yang menulis dalam pelbagai bidang serta himpunan penulis yang bernaung di pelbagai penerbitan.
Peluang yang datang setahun sekali ini, saya habiskan dengan berjumpa dengan lain-lain penulis daripada penerbitan yang lain, terutamanya dari PTS.(Saya merupakan bekas penulis PTS dan buku pertama saya MENGAPA GAGAL MENJUAL adalah hasil terbitan mereka).
Walaupun sudah berada di luar PTS, saya masih lagi berhubung dengan penulis-penulis di sana, seing berbincang mengenai penulisan dan juga bertukar-tukar pandangan dan pendapat demi untuk memajukan diri dalam bidang penulisan. Ini kerana saya bermula sebagai penterjemah sebelum menulis buku sendiri!.
Pertemuan dengan penulis-penulis di bawah bumbung True Wealth juga amat saya nantikan. Walaupun di bawah satu bumbung, namun jarang berjumpa, kecuali seorang berdua yang kebetulan tinggal berdekatan dan bekerja dalam satu organisasi dengan saya. Banyak idea-idea baru dilahirkan dalam pertemuan singkat ini dan saya amat mengalukan-alukan pandangan dan idea mereka. Tidak kurang juga beberapa orang penulis muda meminta tips daripada saya tentang menjual dan saya berikan untuk membantu mereka menjual perkhidmatan mereka dengan lebih baik.
Saya juga ditawarkan menulis dalam majalah maya (online) oleh salah seorang pengasas majalahniaga.com yang juga menjadi penulis True Wealth. Kesempatan dan peluang ini akan saya gunakan untuk membantu usahawan dan jurujual menjual dengan lebih baik.
Saya amat berterima kasih kepada pengurusan True Wealth kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk terus menulis dan bernaung di bawah mereka. Mudah-mudahan usaha mereka untuk memertabatkan ilmu pengetahuan melalui buku akan diberkati dan mendapat balasanNya, Insya Allah.
No comments:
Post a Comment