Penulis, pakar motivasi dan pembimbing jualan

Setiap orang adalah jurujual































Monday 25 April 2011

Jualan Offline mln Jualan Online - Bahagian 1

Sesudah selesai pelancaran buku penulis-penulis True Wealth pada hari Sabtu lepas, saya sempat bersembang sambil makan tengahari dengan beberapa orang anak muda yang juga penulis True Wealth yang menulis berkaitan dengan perniagaan menggunakan internet.

Duduk semeja dan berbual dengan mereka membuka pandangan saya dengan lebih jelas lagi terhadap jualan online yang kini semakin mendapat tempat di kalangan orang muda yang beranggapan ini adalah cara menjual sesuai dengan citarasa mereka.

Saya akui saya masih lagi seorang yang konservatif, terutamanya apabila bercakap tentang menjual. Ini kerana selama 12 tahun terlibat dalam kerjaya menjual, saya beranggapan menjual secara offline masih lagi merupakan cara terbaik, selamat dan mempunyai sentuhan kemanusiaan yang dapat mengeratkan hubungan di antara pelanggan dan jurujual yang memungkinkan jualan berulang berlaku.

Namun demikian, saya tidaklah mengatakan jualan online itu tidak sesuai dan juga tidak menafikan yang jualan offline itu tiada cacat celanya. Yang pasti kedua-dua pendekatan jualan ini mempunyai pro dan kontranya tersendiri dan kedua-dua kaedah menjual ini mempunyai pengikutnya tersendiri, samada pelanggan mahupun jurujual.

Dalam bahagian 1 ini, saya cuba menyentuh banyak jualan online kerana jualan offline telah banyak saya jelaskan kaedah dan pendekatannya melalui buku dan tulisan saya lewat laman Facebook dan blog ini. Ini kali pertama saya menyentuh secara terperinci jualan online dan diharap ianya tidak menimbulkan sebarang kontroversi di kalangan penggiat jualan online.

(Saya akan cuba menggelak menggunakan perkataan-perkataan atau terma teknologi maklumat kerana saya tidak mahir dalam hal ini. Saya juga mohon maaf seandainya ada terma yang digunakan tidak menepati kehendak cerita sebenarnya kerana kekurangan pengetahuan saya dalam teknologi maklumat ini)

Jualan online kelihatan mudah - samada kepada pelanggan atau jurujual. Untuk tujuan nota ini, saya akan memberikan penumpuan kepada kerja-kerja menjual dan mengabaikan peranan pelanggan.

Jurujual online tidak perlu bersemuka dengan pelanggan. Segala urusan, bermula daripada promosi dan menjual dilakukan di alam maya - yang kelihatan adalah saling berbalas email dan pertukaran produk dan duit juga berlaku dengan cara yang sama -  di alam maya.

Jurujual online tidak menggunakan telefon atau fax sebagai medium komunikasi. Mereka menggunakan email atau sms melalui internet bagi tujuan menjual dan begitu juga pelanggan. Kos sudah dapat dijimatkan dengan banyak.

Jurujual online tidak perlu bergerak jauh untuk pergi ke satu tempat. Walaupun urusan jualan berlaku dengan pelanggan dari luar negara, semuanya dilakukan di dalam rumah, pejabat dan ada juga di pusat siber. Segala-galanya cukup mudah dan menjimatkan masa dan tenaga.

Jurujual online tidak perlu menghabiskan banyak masa menyediakan kertas cadangan. Hanya perlu menyediakan laman web atau lain-lain hal yang berkaitan dengan promosi dan hanya dengan sekali klik, dapat sampai ke tangan pelanggan dengan selamat.

Kesimpulannya, jualan online menjimatkan banyak perkara -  dari wang, tenaga dan juga masa. Semuanya kelihatan mudah. Semuanya kelihatan berjaya dan sesiapa pun boleh melakukannya.Ini dapat kita lihat melalui lambakan email yang mengajak dan mempengaruhi kita untuk menjadi kaya dan jutawan melalui jualan internet. Namun pada hakikatnya, adakah begitu?....(Bersambung)


No comments:

Post a Comment